Ringkasan AI
- Antara cabaran utama yang dihadapi oleh industri durian Malaysia dalam mengekalkan daya saing durian segar adalah pengeluaran tidak dapat memenuhi permintaan. Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, pada masa ini, durian dari Malaysia mendapat permintaan tinggi dari negara seperti China, Singapura dan Hong Kong.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, pada masa ini, durian dari Malaysia mendapat permintaan tinggi dari negara seperti China, Singapura dan Hong Kong.
"Saiz pasaran durian segar di China pada tahun 2023 adalah bernilai RM32 bilion. Namun, permintaan durian segar bagi pasaran eksport tidak dapat dipenuhi oleh pengeluaran semasa. Bekalan buah durian segar hanya terhad kepada musim tuaian, kebiasaannya dua kali setahun," kata beliau di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Tambah beliau, tempoh kesegaran (shelf life) durian segar yang pendek iaitu durian yang dituai perlu dieksport dengan segera dan dipasarkan dalam tempoh tiga ke empat hari bagi mengekalkan kesegaran dan kualiti.
Ini berbeza, katanya, dengan durian segar dari Thailand dan Vietnam yang mempunyai tempoh kesegaran yang lebih lama sehingga dua puluh lima hari kerana amalan penuaian sebelum tempoh matang.
Jelas beliau lagi, kos logistik juga menjadi antara cabaran utama iaitu pengeksportan durian segar ke China dalam tempoh segera memerlukan pengangkutan udara pada suhu yang rendah.
"Ini menyebabkan kos penghantaran yang lebih tinggi berbanding durian segar dari Thailand dan Vietnam yang dihantar melalui jalan darat.
"Walaupun terdapat beberapa cabaran terhadap pengeksportan durian segar, KPKM yakin durian segar dari Malaysia yang berada dalam segmen premium mampu bersaing dan terus berkembang di pasaran China," katanya.
