Perkara itu dimaklumkan penasihat keselamatan negara White House, Mike Waltz pada Jumaat.
Sementara itu, Presiden Donald Trump menyatakan bahawa Kyiv tidak mempunyai kelebihan dalam rundingan.
Pejabat Zelenskyy melaporkan bahawa ketua staf Presiden Ukraine, Andriy Yermak, telah berbincang dengan Waltz melalui panggilan telefon pada Jumaat.
Perbincangan itu mengenai “penyelarasan kedudukan” dalam hubungan dua hala, selepas pertikaman lidah yang tegang antara Trump dan Zelenskyy.
Trump sebelum ini mengecam Zelenskyy sebagai seorang “diktator” dan memberi amaran bahawa beliau perlu segera mencapai perjanjian damai dengan Rusia atau berisiko kehilangan negaranya.
Perubahan nada yang mendadak dari Washington ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pemimpin Eropah bahawa Kyiv mungkin dipaksa menerima perjanjian damai yang menguntungkan Presiden Rusia, Vladimir Putin.
Zelenskyy sebelum ini mendakwa bahawa Trump terperangkap dalam "gelembung maklumat palsu" tetapi kemudian meredakan kenyataannya dan berharap AS akan mengambil pendekatan yang lebih pragmatik.
Pada Rabu, Zelenskyy menolak tuntutan AS untuk mendapatkan AS$500 bilion dalam kekayaan mineral Ukraine sebagai bayaran balik bagi bantuan perang.
Ini dengan alasan bahawa jumlah bantuan yang diberikan AS jauh lebih kecil dan tiada jaminan keselamatan khusus dalam perjanjian tersebut.
Dalam panggilan dengan Waltz, Yermak menekankan kepentingan mengekalkan kerjasama dua hala dan hubungan erat antara Ukraine dan AS.
Waltz sebelum ini juga menyatakan bahawa Zelenskyy perlu kembali ke meja rundingan.
Apabila ditanya mengenai kenyataan terbaru Waltz, sumber kerajaan Ukraine memberitahu bahawa kedua-dua pihak “masih dalam rundingan”.
