Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk R. Ramanan berkata banyak maklumat palsu dan fitnah telah disebarkan oleh media barat terkait penindasan yang dilakukan oleh rejim Israel kepada rakyat Palestin.
"Banyak (media barat) laporkan rakyat Palestin itu pengganas, tapi kita kena tanya adakah kanak-kanak yang dibunuh itu pengganas? Jururawat itu pengganas? Doktor, pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu itu pengganas?
"Tak ada, ini (pembunuhan) adalah kezaliman dan kekejaman rejim Zionis, jadi kita berhimpun di sini untuk kebebasan Palestin, mari kita harapkan keamanan, hentikan genosid di Palestin," katanya dalam ucapan sempena Himpunan Pembebasan Palestin di Axiata Arena di sini, malam tadi.
Hadir sama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu dan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul.
Himpunan itu turut dihadiri ribuan peserta yang berpakaian serba putih, sebagai tanda solidariti mereka kepada rakyat Palestin yang kini dihimpit kesukaran akibat penindasan tanpa perikemanusiaan dilakukan rejim Israel.
Ramanan dalam ucapannya juga berkata prinsip perjuangan tokoh India, Mahatma Gandhi yang tidak berpaksikan keganasan sebaliknya mementingkan keharmonian boleh dijadikan contoh dalam mencari jalan penyelesaian terbaik kepada konflik yang sedang berlaku.
-- BERNAMA