Sebarang kelemahan dalam proses siasatan yang dijalankan terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB) perlu diperbaik termasuk mendapatkan semua dokumen yang diperlukan.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein menggesa syarikat itu memberi kerjasama sepenuhnya kepada Jabatan Audit Negara bagi membantu siasatan.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Nur Jazlan Mohamed bahawa terdapat dokumen yang masih belum diberikan termasuk penyata kewangan dan beberapa perjanjian berkaitan urus niaga syarikat kontroversi tersebut.

"Sekiranya 1MDB tidak memberi kerjasama sepenuhnya seperti dinyatakan oleh Nur Jazlan maka itu merupakan sesuatu yang perlu diperbetulkan," kata Hishammuddin selepas mendengar taklimat mengenai 5 Tahun Pelan Strategik LTAT Selaras dengan RMK11 di ibu negara.

Sementara itu, Hishammudin menekankan bahawa siasatan yang dijalankan terhadap dakwaan melibatkan 1MDB adalah amat kritikal untuk mengembalikan keyakinan rakyat.

Ini kerana defisit keyakinan dibimbangi timbul sekiranya isu semasa yang memburukkan nama perdana menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak termasuk melalui artikel The Wall Street Journal (WSJ), tidak menemui kebenaran.

"Apa yang rakyat mahu adalah kebenaran. Defisit keyakinan akan timbul sekiranya kebenaran itu tidak didedahkan.

"Tetapi kita perlu melalui saluran yang betul kerana kita tidak mahu ada yang tidak berdosa didakwa dan dijadikan mangsa. Ini termasuk tuduhan terhadap perdana menteri."

"Jadi kita kena pastikan apa yang diminta oleh rakyat untuk mengembalikan keyakinan mereka, dan ini bergantung kepada proses siasatan yang sedang dijalankan," kata Hishamuddin.

Ditanya tentang kesan isu 1MDB terhadap UMNO secara keseluruhan, Hishamuddin yang juga naib presiden parti itu berkata situasi ini tambah mengukuhkan parti itu.

"UMNO telah banyak melalui cabaran dan rintangan. Biarpun ketika Tun Dr Mahathir merupakan presiden, kami juga banyak melalui krisis. Tetapi itu telah menjadikan parti lebih kukuh dan bersatu padu."

"Namun apa yang penting adalah kebenaran yang dituntut rakyat dan anggota parti kita sendiri. Inilah cabaran yang kami sebagai pemimpin harus galas dan akan kami buat dengan sebaiknya." katanya lagi.