Sesi pemukiman pemimpin-pemimpin Malaysia dan Singapura ke 4, bermula secara rasminya pagi tadi dengan pertemuan empat mata antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan rakan sejawatnya, Lee Hsein Loong.

Mesyuarat antara lain membincangkan peluang meneroka inisiatif-inisiatif baru, bagi mengukuhkan hubungan bilateral kedua-dua negara.

Pertemuan tertutup itu, berlangsung selama sejam.

Najib dan Hsien Loong kemudian menyertai mesyuarat delegasi Malaysia-Singapura, bersama menteri-menteri kabinet masing-masing.

Pemukiman kali ini bakal menyaksikan kedua-dua pemimpin meninjau perkembangan projek kerjasama Khazanah Nasional Berhad dan Temasek Holdings Private Limited di Marina One, Marina South, yang mempunyai nilai pembangunan kasar 7 bilion dolar.

Najib dan Hsien Loong kemudiannya berangkat ke Iskandar Malaysia, Johor bagi melancarkan projek Resort Wellness di Medini Central dan projek urban Wellness di Medini Utara.

Pembangunan projek-projek ini adalah susulan perjanjian pelaksanaan P.O.A 2010, apabila Singapura bersetuju menawarkan empat bidang tanah di Marina South dan Ophir Rochor kepada Malaysia.

Ia sebagai pertukaran kepada penyerahan tiga bidang tanah Keretapi Tanah Melayu Berhad, KTMB di Tanjong Pagar, Kranji dan Woodlands kepada Singapura.