Masalah obesiti dan penyakit-penyakit tidak berjangkit di negara ini berada pada tahap membimbangkan dan sedang meningkat, persidangan Dewan Negara diberitahu hari ini.

Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad berkata tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan yang dijalankan kementerian itu mendapati seorang daripada setiap dua rakyat Malaysia mengalami masalah berlebihan berat dan obesiti.

"Tinjauan itu juga mendapati sebanyak 17.5 peratus rakyat negara ini dikesan menghidap diabetes, 30.3 peratus menghidap hipertensi dan 47.7 peratus pula mempunyai paras kolesterol darah yang tinggi," katanya ketika menjawab pertanyaan Senator Datuk Lee Tian Sing berkenaan masalah obesiti di negara ini pada sesi soal jawab lisan hari ini.

Dr Dzulkefly berkata punca utama obesiti adalah disebabkan beberapa faktor termasuk ketidakseimbangan pengambilan dan penggunaan tenaga harian, pemakanan ibu semasa mengandung dan amalan penyusuan susu ibu, corak pemakanan kanak-kanak yang dipengaruhi oleh ibu bapa dan persekitaran.

"Strategi menangani obesiti telah dimulakan secara menyeluruh seawal di peringkat bayi, kanak-kanak sehingga dewasa.

"Kementerian juga sentiasa dan akan terus komited dalam menangani masalah obesiti dalam kalangan rakyat dengan mengadakan pelbagai program dan aktiviti promosi pemakanan sihat serta hidup cergas sentiasa dipergiat dan diberi nafas baru," katanya.

Dr Dzulkefly berkata langkah-langkah untuk menangani masalah tersebut juga telah digariskan dalam pelan-pelan tindakan yang dikeluarkan kementerian itu seperti Pelan Strategik Kebangsaan untuk Penyakit Tidak Berjangkit (2016-2015), Pelan Tindakan Pemakanan Kebangsaan Malaysia (2016-2025) dan Pelan Strategik Aktiviti Fizikal Kebangsaan (2016-2025).

-- BERNAMA