BATU KAWAN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah menyediakan 170,000 Rumah Mampu Milik (RMM) bagi membantu golongan berpendapatan rendah dan sederhana di negeri itu memiliki rumah selaras visi Penang2030 yang menyasarkan pembinaan 220,000 unit rumah menjelang 2030.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Alam Sekitar, Datuk Seri S Sundarajoo berkata, kerajaan negeri sedang berusaha menyiapkan baki 50,000 rumah menjelang 2030.

"Kerajaan negeri sangat prihatin terhadap rakyat dan ini mungkin antara satu-satunya negeri yang menyediakan rumah mampu milik untuk lebih 50 peratus penduduknya.

"Jika kita dapat capai 220,000 rumah, ini bermakna kira-kira satu juta orang di Pulau Pinang dengan jumlah penduduk semasa 1.8 juta, akan mendapat manfaat daripada rumah mampu milik," katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Vivo Executive Apartment oleh Aspen Vision City Sdn Bhd di Batu Kawan, di sini, pada Jumaat.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri, H'ng Mooi Lye; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambun, Goh Choon Aik; Timbalan Pengerusi Eksekutif Aspen, Datuk Seri Nazir Ariff serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Aspen, Datuk M Murly.

Sundarajoo berkata, rumah mampu milik yang disediakan kerajaan negeri berharga minimum RM42,000 hingga maksimum RM300,000, dan proses permohonan perlu melalui proses pengesahan untuk menyemak kelayakan, yang boleh memakan masa.

Beliau berkata, pihaknya sedang berusaha memendekkan masa menunggu bagi memastikan proses itu dapat diselesaikan dengan lebih cepat.

Sementara itu, H'ng berkata, Pulau Pinang komited terhadap pertumbuhan mampan sambil mengekalkan persekitaran semula jadinya justeru, garis panduan ekobandar raya direka untuk menyepadukan pertimbangan alam sekitar dalam projek bandar dan negeri dengan memberi keutamaan kepada kecekapan tenaga, amalan hijau dan kesejahteraan komuniti.

"Aspen Vision City adalah contoh pendekatan ini, berfungsi sebagai model bagaimana kehidupan moden dapat diselaraskan dengan tanggungjawab alam sekitar. Pembinaan Vivo Executive Apartment menunjukkan komitmen berterusan Aspen untuk membangunkan projek yang dirancang dengan teliti dan selaras dengan matlamat kelestarian Pulau Pinang," katanya.

Bermula pada harga RM406,000, Vivo Executive Apartment direka untuk mempromosikan gaya hidup seimbang dan mampan dengan menawarkan lebih 30 kemudahan kepada penduduk, termasuk kolam renang bersaiz Olimpik, gelanggang bola keranjang, laluan larian sepanjang 300 meter dan unit perniagaan di tingkat bawah. - BERNAMA