Penjawat awam yang didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar pada Rabu dengan 111 pertuduhan meliwat isteri dan mencabul tiga anak perempuannya, didakwa lagi dengan tujuh pertuduhan di mahkamah Majistret Sungai Siput pada Khamis.

Tertuduh, berusia 42 tahun, didakwa dengan tiga pertuduhan ugutan bunuh dan empat tuduhan mencederakan isterinya yang berusia 37 tahun.

Bagaimanapun, lelaki yang bekerja sebagai pemandu di sebuah jabatan kerajaan itu mengaku tidak bersalah apabila semua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Norhabsarina Ayob.

Dia didakwa mengacukan pisau ke muka isterinya dan mengugut bunuh pada 26 Februari, 2 Mac dan 7 Mei lalu di mana bagi setiap pertuduhan, dia didakwa mengikut seksyen 506 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.


Bagi pertuduhan mencederakan isterinya pula, dia didakwa pada 17 Mac, 26 dan 27 April serta 4 Mei lalu dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada isteri dengan mencekik leher, menghentak kepala ke dinding, menampar muka dan menendang badan mangsa.

BACA: Penjawat awam didakwa 111 pertuduhan seks luar tabii, cabul anak

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut seksyen 323 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama seksyen 326a Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda maksimum RM4,000 atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh didakwa melakukan semua perbuatan itu kediamannya di Sungai Siput.

Norhabsarina tidak membenarkan jaminan terhadap tertuduh selepas mengambil kira faktor keselamatan mangsa dan saksi kes berkenaan yang juga isteri serta anak-anak tertuduh.

Pada Rabu, lelaki itu didakwa di mahkamah sesyen kuala kangsar dengan 104 pertuduhan meliwat isterinya dengan purata dua atau tiga kali hampir setiap hari bermula pada 1 Mac hingga 3 Jun lalu.