TEBING BARAT: Rejim Zionis membunuh seorang komander tempatan pergerakan Jihad Islam yang disokong Iran di Tebing Barat bersama empat yang lain dalam sebuah masjid pada Khamis.

Dalam satu pertempuran bersenjata, Israel menyatakan bahawa mereka telah membunuh Muhhamad Jabber, yang dikenali sebagai Abu Shujaa, ketua rangkaian pejuang di kem pelarian Nur Shams.

Bahagian Tulkarm dari sayap bersenjata Jihad Islam mengesahkan kematiannya, yang menjadikan jumlah warga Palestin yang terbunuh dalam tempoh dua hari lepas kepada 17 orang.

Operasi ini bermula pada awal pagi Rabu dengan ratusan tentera Israel dibantu oleh helikopter, dron, dan kenderaan perisai menyerbu bandar Tulkarm, Jenin dan kawasan di Lembah Jordan.

Terdapat juga gangguan rangkaian sepenuhnya di Jawwal yang menempatkan salah satu daripada dua syarikat telekomunikasi utama di Semenanjung Gaza.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, menyatakan bahawa pelancaran operasi ketenteraan berskala besar oleh Israel adalah "amat membimbangkan" dan menyeru supaya ia dihentikan serta-merta.