JITRA: Seorang kontraktor bersama anak saudaranya dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh pesara Felcra, Sabari Baharom, 62 tahun, pada 4 Sept lepas.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan ke atas Mazuan Hanafi, 38 tahun, dan Muhd Asyraf Idris, 26 tahun, kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Huda Idris.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh secara bersama melakukan bunuh dengan niat menyebabkan kematian ke atas Sabari di titi Kampung Empa, Sungai Padang Terap, Kubang Pasu jam 5.30 pagi pada 4 Sept lalu.

Sehubungan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) yang mana jika sabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara maksimum 40 tahun dan minumum 12 kali sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Datuk Khairul Anuar Abdul Halim serta Timbalan Pendakwa Raya Nasruna Anhar Noridien dan Mohamad Rizal Fadzil, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Majistret kemudian menetapkan 5 Jan tahun depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan tiada jaminan dibenarkan ke atas kedua-dua tertuduh.

Media sebelum ini melaporkan Sabari yang tinggal seorang diri di Kampung Mengkuang Tengah di Kuala Pegang, Baling, hilang sejak 4 Sept dan kereta Proton Waja dinaikinya ditemukan hangus di Belantik, Sik pada 20 Sept.

Polis kemudian mengesahkan Sabari dicampak ke dalam Sungai Padang Terap berhampiran Kampung Empa di Wang Tepus, Jitra, dalam keadaan tangan diikat dan mulut ditutup dengan pita pelekat, susulan penahanan dua lelaki itu.

Operasi pencarian Sabari di kawasan sungai berkenaan dilaksanakan selama tiga hari, sebelum ditamatkan pada 3 Okt.

Pada Jumaat lalu, dua lelaki direman seminggu bagi membantu siasatan kes bunuh Sabari.

Kronologi pembunuhan Sabari Baharom