KUALA LUMPUR: "Alhamdulillah, tiada gejala langsung," itu respons Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah kepada Astro AWANI selepas 24 jam beliau disuntik vaksin COVID-19.

Malah, Ketua Pengarah Kesihatan itu mengakui tidak berasa sebarang perbezaan pada tubuh atau kesihatannya dan boleh melaksanakan tugasnya seperti biasa.

"Saya sihat. Tiada langsung gejala seperti demam atau sakit. Saya juga sudah kemas kini dalam aplikasi MySejahtera," katanya kepada Astro AWANI.

Beliau turut berkongsi tangkap layar kemas kini status kesihatan dalam aplikasi MySejahtera, yang merupakan sebahagian syarat kepada semua individu yang mengambil suntikan vaksin.

Tangkap layar kemas kini status kesihatan Dr Noor Hisham di dalam aplikasi MySejahtera selepas 24 jam disuntik vaksin COVID-19. - Foto Dr Noor Hisham Abdullah

Dr Noor Hisham merupakan individu terawal yang mengambil suntikan vaksin COVID-19 keluaran Pfizer-BioNTech di negara ini pada Rabu.

Beliau bersama Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin disuntik vaksin itu di Pejabat Kesihatan Daerah Putrajaya, Presint 11, yang turut menjadi simbolik kepada bermulanya Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.