GOPENG: Permainan tradisional seperti tuju tin, baling dart, tarik upih, dam aji, dan congkak, serta acara berbusana Melayu Lama, pastinya menggamit nostalgia bagi pengunjung yang menyertai Sambutan Hari Malaysia 2024 yang diadakan di Balai Lintang Bagas Zakariah, dekat sini.

Kira-kira 50 pengunjung yang hadir berbusana tahun 50-an dan 60-an diserikan dengan alunan lagu-lagu klasik sepanjang program berkenaan, selain disajikan dengan pertunjukan wayang pacak dan diberi peluang untuk menyertai joget lambak.

Pengurus Bagas Zakariah Zaliha Hassan ketika ditemui Bernama pada Sabtu, berkata bahawa program Sambutan Hari Malaysia yang bertemakan Melayu Lama bertujuan untuk mengembalikan nostalgia zaman dahulu kala bagi pengunjung yang hadir, terutamanya generasi muda.

"Program sambutan sebegini merupakan kali pertama diadakan sejak Bagas Zakariah ini dibuka pada 2019. Pada era zaman digital ini cara sambutan Bulan Kemerdekaan sudah berubah, jadi kita ketengahkan konsep Melayu Lama sempena sambutan Hari Malaysia pada tahun ini.

"Secara tidak langsung, pengunjung serta tetamu inap desa yang menyertai program ini dapat merasai sedikit sebanyak nostalgia pada zaman dahulu," katanya.

Seorang pengunjung, Nur Farahin Yahya, 30, dari Singapura berkata beliau serta suami dan tiga orang anaknya yang sedang bercuti di Perak dan tinggal di inap desa itu selama beberapa hari, mengambil peluang untuk menyertai program berkenaan.

"Kami memang seronok sebab kami tinggal di bandar, jadi tidak pernah merasai suasana kampung dan dapat melakukan pelbagai aktiviti seperti permainan tradisional walaupun saya sendiri tak pernah main. Kami seronok dan menikmati pengalaman sebegini," katanya yang merupakan suri rumah sepenuh masa.

Seorang lagi pengunjung, Fariza Ahmad Fahmi, 37, dari Pengkalan, Ipoh pula berkata beliau memanfaatkan musim cuti persekolahan yang bermula minggu ini dengan membawa empat anaknya menyertai program itu.

"Program seperti ini memang bagus kerana ia dapat memberi pendedahan kepada generasi muda mengenai keindahan dan keunikan nostalgia zaman dahulu dan mereka seronok dapat bermain permainan tradisional," katanya.

Bagas Zakariah yang terletak di Kampung Lawan Kuda merupakan rumah inap bercirikan rumah kampung tradisional bertemakan kehidupan cara kampung atau Kampung Stay.

Tempat ini sesuai bagi mereka yang tidak pernah merasai kehidupan di kampung serta mahu menikmati udara nyaman dan suasana tenang.

-- BERNAMA