PORT DICKSON: Pemilihan Port Dickson sebagai satu daripada lokasi Mesyuarat ASEAN dijangka memberi impak besar kepada sektor pelancongan di daerah itu, sekali gus mempromosikan keindahan destinasi berkenaan kepada negara-negara Asia Tenggara.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), Hasnor Abd Hamid berkata, pihaknya komited memastikan segala persediaan berjalan lancar bagi menjayakan mesyuarat itu serta meninggalkan kesan positif.

"Kita akan bekerjasama dengan hotel dan jabatan berkaitan untuk memastikan kebersihan, landskap, jalan raya dan keindahan Port Dickson sentiasa cantik dan bersih.

"Kebersihan menjadi keutamaan MPPD dan kami akan pastikan semua sampah di sekitar bandar dan juga pantai dikutip. Kerja-kerja pembersihan akan dilaksanakan seawal pagi bagi memastikan semuanya berada dalam keadaan baik," katanya kepada Bernama, di sini, pada Jumaaat.

Hasnor berkata, Mesyuarat ASEAN itu dijangka berlangsung di sebuah hotel di pantai peranginan berkenaan pada 3 Okt.

Malaysia secara rasmi mengambil alih Kepengerusian ASEAN bermula 1 Jan 2025 dengan tema "Keterangkuman dan Kemampanan", yang mencerminkan aspirasi negara untuk membentuk ASEAN yang bersatu dan makmur.

Ini merupakan kali kelima Malaysia memegang peranan penting sebagai Pengerusi ASEAN, selepas kejayaan sebelumnya pada tahun 1977, 1997, 2005, dan 2015. - BERNAMA