Bagaimanapun warga emas berusia 70 tahun itu kelihatan tenang ketika diselamatkan.
Menurut Muhd Sufi Sharifudin, 30, dia melihat sebuah kereta di tepi sungai sewaktu dalam perjalanan pulang menjaring di sungai menaiki bot.
"Saya panggil tapi tiada siapa yang menyahut, jadi saya datang dekat tengok, rupa-rupanya ada seorang pak cik dalam kereta sedang menggigil.
“Mungkin dia hilang arah menyebabkan memandu ke jalan buntu dan kereta pula tersangkut. Nasib baik saya dan anak tiba tepat pada masanya.
“Kami mengharungi air separas pinggang dan membawanya keluar dari kereta yang hampir tenggelam kemudian masuk ke dalam bot untuk dihantar ke jeti lebih kurang satu kilometer dari tempat kejadian,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Tambah Muhd Sufi, dia dalam keadaan panik memikirkan situasi tersebut, namun warga emas berkenaan kelihatan tenang dan mengajaknya berbual ketika dalam perjalanan ke jeti.
Bapa kepada lima cahaya mata itu berkata, dia kemudian melaporkan kejadian tersebut kepada pihak polis berikutan tiada sebarang dokumen pengenalan diri pada warga emas terbabit.
“Masa atas bot, dia tenang sangat. Dia kata, lama tak mandi hujan, seronok dapat mandi hujan dan naik bot.
“Saya tengah panik tetapi dia boleh ajak saya berborak sebab masa saya selamatkan pak cik ini, dia seorang diri. Nasib baik ada rumput tebal di tepi sungai, kalau tak mesti sudah hanyut.
“Saya pun dah serahkan pada pihak polis untuk mencari waris kerana tidak jumpa apa-apa dokumen, hanya ada beg ubat,” ujarnya.
Dalam pada itu, Muhd Sufi berkata, kejadian itu tidak sengaja dirakam olehnya berikutan tujuan asal hanya merekodkan video anak perempuan sedang membawa bot sebelum mereka mengharungi detik mencemaskan tersebut. - Sinar Harian