KUALA LUMPUR: Inti pati Rukun Negara perlu difahami dan dihayati secara mendalam oleh masyarakat untuk memupuk perpaduan yang kukuh antara satu sama lain, kata ahli akademik.

Ketua Jabatan Sejarah, Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya (UM) Dr Abu Hanifah Haris berkata Rukun Negara memainkan peranan penting dalam memartabatkan perpaduan serta memastikan keamanan dalam negara yang terdiri daripada pelbagai kaum.

"Walaupun Rukun Negara tidak termasuk dalam Perlembagaan, namun apabila seseorang menghayati kandungannya, ia dapat mengurangkan beberapa masalah yang boleh mengancam perpaduan," katanya pada program Bicara Eksekutif Semarak Merdeka yang bertemakan "Semangat Patriotisme dan Perpaduan melalui Penghayatan Rukun Negara" anjuran Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) di sini pada Selasa.

Selain itu, Abu Hanifah yang juga Pensyarah Kanan di fakulti berkenaan menekankan kepentingan anak-anak muda untuk memahami sejarah dengan lebih mendalam kerana ia penting dalam usaha menjadi negara moden dan maju.

"Sejarah ialah cermin masa lepas, kita perlu bergerak ke depan tetapi jangan lupa melihat ke belakang untuk memastikan kita dapat melangkah ke hadapan dengan selamat," katanya dan menambah golongan muda juga perlu memanfaatkan media sosial ke arah kebaikan, namun pada masa sama tidak melupakan sejarah.

Abu Hanifah berkata sukatan mata pelajaran Sejarah berada pada tahap baik dalam menjelaskan pelbagai peristiwa secara komprehensif.

Sementara itu, penyelidik utama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Dr Zaid Ahmad berkata kandungan sejarah tidak seharusnya dilupakan selepas tamat alam persekolahan, sebaliknya ia perlu terus dihayati untuk menyemarakkan semangat jati diri dan kemajuan dalam kehidupan.

"Kita perlu sentiasa mengingat sejarah. Kisah-kisah berkenaan harus dipaparkan di pelbagai platform sebagai satu proses pendidikan awam supaya masyarakat sentiasa sedar (akan usal-usul) diri dan misi mereka," katanya.

Program bicara itu adalah antara inisiatif PNM, sebagai satu daripada jabatan di bawah Kementerian Perpaduan Negara (KPN), untuk mendorong rakyat menghargai sejarah, mengukuhkan nilai-nilai murni serta memantapkan semangat perpaduan antara satu sama lain.

-- BERNAMA