Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri, Norazam Khamis berkata, dalam kejadian sekitar 1.50 pagi itu, kedua-dua mangsa yang menaiki kereta jenis Proton Persona tercampak keluar dan disahkan maut di lokasi kejadian.
“Kereta Persona itu dari arah Kuala Lumpur ke selatan dan dipercayai cuba mengelak sebuah motosikal. Kemudian kereta itu terbabas dan merempuh pembahagi jalan sebelum berpusing dan dilanggar sebuah bas dari arah belakang.
“Seorang kanak-kanak lelaki dan remaja perempuan tercampak keluar manakala lima yang lain menaiki kenderaan sama terdiri daripada seorang lelaki dewasa, seorang wanita dewasa, dua kanak-kanak lelaki dan seorang bayi lelaki mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan di sini.
Lima penumpang kereta lain termasuk seorang bayi cedera parah dalam kejadian di Kilometer 265.6 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS). - Astro AWANI/Shuhada Abdul Kadir
Mengulas lanjut, pihaknya menerima panggilan pada pukul 1.57 pagi sebelum menggerakkan tujuh anggota ke lokasi dan tiba pada pukul 2.12 pagi.
Tambahnya kesemua 29 penumpang dan pemandu bas berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Kesemua mangsa yang maut dan cedera kemudian dihantar ke Hospital Tuanku Jaa’far untuk rawatan lanjut,” katanya.