KUALA LUMPUR: Cadangan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk mengambil alih Gaza dan diuruskan oleh negara itu sifatkan sebagai 'gila' dan tidak masuk akal.

Menurut penganalisis undang-undang antarabangsa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Salawati Mat Basir, tindakan Trump yang tidak menghiraukan undang-undang antarabangsa itu dilihat sebagai bentuk  pengusiran penduduk Gaza

"'Gila', itu reaksi awal saya.

"Pada saya, selaku negara yang selalu menyokong hak asasi manusia, yang selalu merasa wajar diwujudkan satu keamanan di Asia Barat, (AS) sedang membantu anak emasnya Israel.

"Ini bagi melakukan pembersihan etnik dengan cara yang dikatakan tidak menggunakan senjata… dengan buah mulut yang manis," kata Salawati kepada Astro AWANI pada Rabu.

Terdahulu, Trump dalam pertemuannya dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu di White House, Washington mencadangkan satu visi untuk “pemilikan jangka panjang” serta pembangunan semula Gaza.

Pertemuan kedua pemimpin sekutu rapat itu adalah bagi membincangkan usaha mengekalkan gencatan senjata di Gaza serta perjanjian normalisasi Israel-Arab Saudi

Dalam masa sama, Trump turut menyeru Jordan, Mesir dan negara-negara Arab lain untuk menerima penduduk Gaza.

Ini kerana dakwa Presiden AS itu, rakyat Palestin tidak mempunyai pilihan selain meninggalkan wilayah pantai tersebut yang perlu dibangunkan semula selepas hampir 16 bulan konflik dahsyat antara Israel dan kumpulan Hamas.