Bekas ahli Pas, Datuk Dr Hasan Ali menggesa rakyat khususnya orang Melayu menggunakan kuasa undi mereka untuk menolak parti politik yang mengenepikan agenda perpaduan Islam dalam Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU-13).

Justeru Presiden Jalur Tiga (Jati) itu berharap dua parti dominan Melayu dan Islam, Umno dan Pas menjadikan perpaduan antara umat Islam sebagai agenda utama.

“Memandangkan masa yang ada begitu singkat, amat mustahak pemimpin-pemimpin Umno dan Pas menjadikan isu penyatuan umat ini sebagai agenda nombor satu dalam PRU-13.

“Kedua-dua parti atas nama demokrasi bebas menyuarakan apa isu pun namun isu-isu tersebut tidak akan dapat memberi manfaat dan kebaikan kepada umat Islam dan Melayu di negara ini selagi agenda nombor satu penyatuan umat tidak dijunjung oleh kedua-dua parti yang mewakili sebahagian besar
daripada penduduk Islam dan Melayu di negara ini," kata Hasan dalam satu kenyataan hari ini.

Bekas Pesuruhjaya PAS Selangor itu membuat kenyataan tersebut ekoran isu perpecahan Umno dan Pas pada 1978 yang mempunyai banyak versi.

“Saya masih berharap agar insiden yang pernah berlaku pada tahun 1978 itu dapat dirungkaikan dan diselesaikan dengan kadar yang segera berdasarkan semangat ukhuwwah dan mahabbah sesama Muslim seperti mana yang dituntut oleh Al-Quran dan Sunnah," katanya.

Dr Hasan menegaskan penyelesaian ini adalah penting demi kemaslahatan perpaduan, kesatuan dan demi survival masa depan Islam serta nasib bangsa Melayu di negara ini yang bakal ditentukan dalam PRU-13.

"UMNO dan PAS sering menyalahkan antara satu sama lain berhubung insiden yang menjadi punca PAS keluar daripada kerajaan campuran Perikatan.

“Pimpinan PAS perlu mengemukakan butiran lanjut terhadap peristiwa tersebut bagi membolehkan rakyat biasa membuat penilaian masing-masing,” kata Hasan.

Jelas beliau, adalah menjadi satu tanggungjawab moral bagi pimpinan tertinggi Pas menjelaskan perkara ini dengan memberikan fakta yang jelas dengan perincian kronologinya mengenai dakwaan tentang penyingkiran tersebut.

“Setakat yang saya dimaklumkan sebelum ini oleh beberapa pimpinan tertinggi Pas sendiri yang tidak pernah ditimbulkan secara terbuka, versi Tun Mahathir lebih menepati realiti yang berlaku ketika itu,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia itu turut mencadangkan supaya diadakan satu pasukan penilai terdiri daripada golongan cendikiawan, professional, pakar sejarah, agamawan dan penganalisa politik untuk membuat penilaian kepada kesahihan fakta yang dikemukakan oleh Umno dan Pas.

“Pasukan penilai kemudiannya akan membentangkan episod sebenar kepada rakyat.

“Fakta yang sahih amat diperlukan kerana pimpinan Pas enggan menerima tawaran Umno untuk menjalinkan perpaduan atau mewujudkan sebarang bentuk kerjasama politik kerana mendakwa pernah dikhianati sebelum ini,” katanya.

Dr Hasan menegaskan, atas alasan tersebut Pas terus menganggap UMNO sebagai musuh politik nombor satu dan parti yang tidak mempunyai kredibiliti serta tidak boleh dipercayai.