OSLO: Tiga maut manakala empat lagi cedera parah selepas sebuah bas terbabas dari lebuh raya lalu terjunam ke dalam tasik di utara Norway, menurut pihak berkuasa tempatan pada Khamis, lapor Xinhua.

"Bas itu sebahagiannya tenggelam. Setakat ini, tiga kematian disahkan dan empat orang mengalami kecederaan parah.

"Pasukan kecemasan berjaya membawa keluar semua penumpang dari bas itu," kata Bent Are Eilertsen, Ketua Staf Daerah Polis Nordland.

Kejadian berlaku berhampiran Raftsundet di kepulauan Lofoten, destinasi pelancongan terkenal di utara Norway.

Pasukan penyelamat menghadapi cabaran di lokasi kejadian, termasuk cuaca buruk yang menyukarkan operasi helikopter.

Mangsa yang cedera parah telah diterbangkan ke hospital, manakala yang lain ditempatkan di pusat perlindungan sementara, termasuk sebuah sekolah.

"Terdapat ramai warga asing dalam bas itu," kata Eilertsen, sambil menyatakan situasi masih rumit ketika pihak berkuasa berusaha menentukan punca kemalangan.

Kedutaan China di Norway mengesahkan bahawa 15 pelancong China berada dalam bas terbabit, dengan lima daripadanya cedera ringan.

Kedutaan itu menyatakan pihaknya sedang berhubung dengan para pelancong dan akan menyediakan sokongan yang diperlukan bagi memastikan mereka selamat pulang.

Siasatan mengenai punca kejadian sedang dijalankan.

-- BERNAMA