Pendedahan klip rakaman perbualan oleh SPRM melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini tidak akan menjejaskan kempen Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis.

Menurut Ketua Umno Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin, BN tidak hairan dengan perkara tersebut, sebaliknya yakin mampu menawan hati pengundi di Parlimen itu.

“Sebetulnya tidak menjejaskan apa-apa dan kita tidak hairan.

”Kerajaan Pakatan Harapan (PH), dia (PH) kata semua ‘rule of law’ tetapi ‘rule of law’ hanya terpakai untuk mereka sahaja, buat pembangkang tidak terpakai sama sekali.

BACA: Pendedahan rakaman audio demi kepentingan awam - Latheefa Koya



“Rasuah banyak macam mana sekali pun kalau di pihak mereka, ia tidak ada (tindakan undang-undang). Tetapi kalau di pihak pembangkang, sikit saja pun dia belasah,” katanya ketika ditemui di sini, pada Selasa.

Sebelum itu, bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman turut hadir di Kimanis Centro, di sini bagi memantau pergerakan jentera BN.

Mengulas lanjut, Bung berkata dakwaan segelintir pihak bahawa Umno Sabah telah terkubur di negeri itu adalah tidak benar.

Sebaliknya, beliau menegaskan Umno akan meraih semula kepercayaan rakyat di negeri itu dengan kemenangan pada PRK Kimanis.

Terdahulu, Najib mengakui terkejut dengan rakaman audio dipercayai perbualan antara beliau dengan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dan beberapa pegawai kanan kerajaan yang didedahkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).