KUALA LUMPUR: Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan menerima menghadap Tengku Temenggong Kedah Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim, merangkap Pengerusi Kebangsaan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) di Istana Negara, hari ini.

Acara menghadap itu dikongsikan menerusi hantaran di Facebook Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

Menurut hantaran itu, pertemuan itu turut dihadiri Setiausaha Agung BSMM Hakim Hamzah, Governing Board BSMM Syamil Fahim Mohammed Fahim dan Pegawai Komunikasi persatuan itu Mohammad Khairul Abd Wahab.

Sementara itu, dalam hantaran berasingan di laman Facebook sama, Raja Zarith Sofiah turut berkenan menerima menghadap Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abd Kadir.

Turut hadir pada sesi menghadap yang berlangsung di Istana Negara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zaini Ujang dan Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Tinggi Prof Dr Azlinda Azman.

-- BERNAMA