Seri Paduka Baginda yang merupakan Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bertitah sebagai sebuah universiti yang diamanahkan untuk menjadi peneraju dalam penyelidikan teknologi AI, UTM perlu memastikan teknologi berkenaan digunakan dengan bertanggungjwab dan beretika.
"Dalam dunia yang dipacu oleh teknologi masa kini, perkembangan AI menawarkan peluang dan cabaran yang besar.
"Teknologi AI ini sepatutnya dimanfaatkan untuk meningkatkan kualiti hidup masyarakat dan bukan keuntungan ekonomi semata-mata," titah Seri Paduka Baginda ketika Majlis Perisytiharan Pro-Canselor dan Majlis Konvokesyen UTM kali ke-68 di sini hari ini.
Turut berangkat ke istiadat berkenaan Pro-Canselor UTM Che Puan Mahkota Khaleeda Johor dan Tan Sri Jamaludin Ibrahim.
Sementara itu, Seri Paduka Baginda menzahirkan kebimbangan terhadap aktiviti manusia yang merosakkan sistem semula jadi dunia.
Raja Zarith Sofiah bertitah selain teknologi AI yang berkembang begitu pesat, tidak boleh dinafikan juga bahawa rakyat sedang hidup dan menyaksikan aktiviti manusia yang telah merosakkan sistem semula jadi dunia secara ketara dan membimbangkan.
Justeru, Seri Paduka Baginda menyeru masyarakat untuk memainkan peranan dalam menangani kerosakan alam semula jadi.
"Ia bermula dengan perubahan sikap dan rasa tanggungjawab untuk memelihara dunia kita ini untuk generasi akan datang.
"Alhamdulillah, saya difahamkan bahawa UTM adalah antara institusi yang telah mula-mula mengusahakan elemen kesihatan dunia kita ini melalui Pelan Kelestarian UTM 2030 bagi menyahut cabaran tersebut. Tahniah saya ucapkan," titah Seri Paduka Baginda.
Raja Zarith Sofiah turut menzahirkan harapan agar semua pihak dapat bersama-sama menjadikan Wawasan UTM 2030 yang sedang dalam fasa pembangunan, satu program yang berjaya dan meletakkan nama universiti ini sebaris dengan universiti terkemuka di dunia.
Sejumlah 7,499 orang graduan termasuk penerima Hadiah Akademik menerima penganugerahan sempena istiadat Perisytiharan Pro-Canselor dan Majlis Konvokesyen UTM ke-68 kali ini.
Istiadat kali ini berlangsung selama enam hari bermula hari ini hingga 21 Nov melibatkan 11 sesi penganugerahan.
-- BERNAMA