KUALA LUMPUR: Andai berlaku parlimen tergantung selepas keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 diumumkan, mahu tidak mahu rundingan antara parti perlu dijayakan.

Begitupun, kata penganalisis politik, Mujibu Abdul Muis, kejayaan rundingan itu bergantung kepada kewibawaan pemimpin untuk membentuk kerajaan gabungan yang kukuh dan stabil.

Menurutnya, sehingga kini, dapatan daripada semua pengkaji di lapangan menjangkakan tidak ada satu pakatan yang dapat melepasi angka majoriti mudah kemenangan 112 kerusi Parlimen secara sendiri.

Cabarannya adalah, setiap parti awal-awal lagi meletakkan ‘kaveat’ masing-masing yang membataskan dan menutup terus ruang kerjasama antara mereka.

“Ini barang kali akan menggusarkan perundingan berdasarkan kepada sentimen, seperti apa yang kita lihat.

"Misalnya DAP sebagai penghalang kepada sebarang rundingan terhadap Sarawak dan kepada Barisan Nasional (BN) itu sendiri.

"Begitu juga antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan BN,” katanya dalam program Agenda AWANI Khas Malaysia Memilih pada Jumaat.

Maka, oleh itu, beliau menduga siapakah pemimpin yang mempunyai kelebihan dan keupayaan untuk meraih jumlah kerusi yang diperlukan seminimal mungkin bagi mencapai angka 112 itu.

“Paling penting dalam perundingan ini, tokoh mana yang dapat menenangkan semua ketua-ketua parti.

"Kerana, dalam hal ini, elit-elit politik itu harus dipegang serta ‘dijinakkan’, dan tawar-menawar itu mesti bersifat menang-menang,” jelas Mujibu.

PRU15 | Parlimen Tergantung? Kejayaan perundingan bergantung kewibawaan pemimpin - Mujibu