KUALA TERENGGANU: Pelaksanaan hukuman sebatan syariah bagi pesalah khalwat berulang di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Ladang di sini berjalan lancar dengan penuh tertib dan mematuhi segala prinsip keadilan Islam.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, hukuman itu diharapkan akan menjadi contoh pelaksanaan syariah yang membawa rahmat kepada seluruh rakyat.

"Alhamdulillah...kita menyaksikan satu lagi langkah penting dalam melaksanakan hukum syariah di negeri ini.

"Saya mengucapkan tahniah dan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan pelaksanaan ini termasuk Mahkamah Syariah, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Jabatan Penjara, Polis Diraja Malaysia (PDRM), pengurusan masjid, Jabatan Kesihatan negeri (JKNT) serta pegawai penguatkuasa.

"Kecekapan dan kesungguhan mereka memastikan bahawa proses ini dilaksanakan dengan telus, adil, dan penuh hikmah.

"Semoga usaha ini (hukuman sebatan) menjadi contoh pelaksanaan syariah yang membawa rahmat kepada seluruh rakyat," katanya menerusi laman Facebook rasminya pada malam Jumaat.

Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri menjelaskan hukuman berkenaan bukanlah bertujuan untuk menghukum semata-mata.

Bagaimanapun beliau berkata, hukuman itu sebagai satu bentuk pendidikan, pengajaran, dan pencegahan kepada masyarakat agar lebih dekat dengan nilai-nilai Islam.

"Terengganu kekal komited menjunjung amanah ini dengan memastikan segala yang dilakukan selaras dengan syariat ALLAH dan undang-undang negara," jelasnya.

Pada Jumaat, seorang duda yang menjadi lelaki pertama dijatuhi hukuman enam sebatan depan khalayak ramai selesai menjalani hukuman tersebut di Masjid Al-Muktafi Billah Shah di sini.

Mohd Affendi Awang, 42, yang juga seorang tukang rumah itu menjalani hukuman sebatan tersebut selepas mengaku bersalah atas dakwaan melakukan khalwat kali ketiga dengan wanita berbeza.

Prosedur sebatan sebanyak enam kali itu hanya mengambil masa selama dua minit.

Kes syariah yang mendapat liputan meluas daripada pelbagai pihak itu berjaya menarik perhatian lebih 100 orang yang berkumpul di luar untuk melihat bagaimana hukuman dijalankan.

Bagaimanapun hanya 90 orang terdiri daripada wakil kerajaan negeri, wakil setiap jabatan, wakil persatuan peguam dan wakil media yang dibenarkan melihat proses sebatan tersebut yang diadakan di Dewan A'asim di masjid berkenaan.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan seorang duda menjadi individu pertama di Terengganu yang akan menjalani hukuman enam sebatan di khalayak ramai kerana melakukan kesalahan khalwat berulang.

Hukuman itu diputuskan Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, Kamalruazmi Ismail lelaki itu mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 31(a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022. - Sinar Harian