Ringkasan AI
- Kerajaan Terengganu menyalurkan RM4.2 juta untuk membaiki 1,177 rumah yang rosak akibat ribut pada September dan Oktober.
- Sebanyak 75% rumah yang rosak, terutamanya pada bahagian bumbung dan atap, telah dibaiki.
- Ribut kuat dan hujan air batu pada 23 Oktober menyebabkan kerosakan teruk pada 244 rumah dan tujuh sekolah di Chukai.
Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata 75 peratus rumah yang kebanyakannya mengalami kerosakan pada bahagian bumbung dan atap, telah dibaiki.
"Semua yang kita kenal pasti di seluruh Terengganu ada (kerosakan rumah akibat ribut) kecuali yang sangat minimum di Dungun dan Kuala Nerus. Semuanya dalam proses pembaikan.
"Kebanyakan kerosakan rumah melibatkan bahagian atap tercabut dan tidak boleh dipakai lagi, jadi kerja-kerja membaiki atap itu lebih cepat boleh disiapkan, berbanding kerosakan struktur bangunan.
"Ada juga struktur bangunan yang rosak akibat ribut, tetapi jumlahnya sangat minimum," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Pengurniaan Bintang, Pingat dan Sijil Pengakap Raja Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Terengganu, di Dewan Besar Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.
Yang Dipertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat dan mengurniakan bintang, pingat dan sijil pengakap raja kepada kesemua 179 penerima pada majlis berkenaan.
Sepanjang September dan Oktober, hampir semua daerah di negeri itu dilanda beberapa siri kejadian ribut termasuk pada 23 Okt, apabila bandar Chukai dan kawasan dalam radius kira-kira tiga kilometer di sekitarnya dikejutkan dengan fenomena hujan air batu yang turut disertai ribut kuat.
Kejadian yang berlaku jam 4 petang dan berlangsung selama 10 hingga 15 minit itu, mengakibatkan 244 buah rumah dan tujuh sekolah mengalami kerosakan teruk terutama pada bahagian bumbung.
-- BERNAMA