Menurut ibu bapa mereka yang juga merupakan anggota tentera, anak-anak mereka yang berumur daripada satu hingga empat tahun itu dibawa bersama kerana kedua-dua pasangan akan mengundi hari ini.
Tinjauan Astro AWANI mendapati, pelbagai karenah dan ragam anak-anak kecil ini, terdapat yang berlari berkejaran dan ada juga yang bermain gajet yang diberikan ibu bapa.
Kesemua anak-anak ini turut dibenar dibawa ke dalam Pusat Mengundi Awal (PMA) sekali gus dapat memberi pengalaman pendedahan awal kepada mereka mengenai sistem demokrasi negara.
Seramai 800 anggota dan pasangan tentera mengundi di dua saluran di Kem Seri Pantai bagi memilih wakil rakyat bagi Parlimen Kuala Nerus (P035).
Kem ini menempatkan Batalion Ke-18 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) (Para).
Bagi memberi kelancaran proses pengundian, waktu mengundi mereka dibahagikan kepada kompani masing-masing dan tidak buat secara serentak.
Kem Seri Pantai merupakan salah satu daripada 24 PMA di seluruh Terengganu dengan 35 saluran.
Seramai 2,483 anggota tentera dan pasangan manakala 4,542 anggota polis dan pasangan mengundi hari ini.