KUALA LUMPUR: Proses bedah siasat jenazah pendaki Zulkifli Yusuf telah selesai dijalankan pada Isnin (waktu tempatan) dan kini jenazah ditempatkan di rumah mayat untuk proses membawa pulang ke Malaysia.

Perkara itu dimaklumkan Kelab Jelajah Alpine Malaysia dalam hantaran menerusi Facebook hari ini.

Kelab itu memaklumkan proses membawa pulang jenazah akan dilakukan dengan kerjasama pihak syarikat insurans, ejen pengurusan jenazah, pihak Konsulat Jeneral Malaysia di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) dan wakil Kelab Jelajah Alpine.

"Setakat ini kami belum menerima sebarang butiran berkenaan jadual penerbangan yang akan membawa pulang jenazah Allahyarham.

"Sebelum dibawa pulang, jenazah akan dimandi dan dikafankan dengan kerjasama Islamic Community Center of Anchorage di Alaska," menurut hantaran itu.

Hantaran berkenaan turut memaklumkan pendaki Muhammad Illaham Ishak masih di hospital di Anchorage untuk rawatan kerana mengalami luka beku manakala seorang lagi pendaki Zainudin Lot dibenarkan keluar dari hospital dan kini membantu proses membawa pulang jenazah Zulkifli.

"Kami akan maklumkan butiran penerbangan yang membawa jenazah Allahyarham Zulkifli Yusof setelah mendapat ketetapan daripada pihak berkenaan," menurut hantaran itu.

Kelab Jelajah Alpine Malaysia pada 1 Jun lepas memaklumkan seorang daripada tiga pendaki rakyat Malaysia yang terkandas pada ketinggian 19,700 kaki di Gunung Denali di Alaska, AS sejak 28 Mei ketika membuat pendakian di gunung tertinggi di Amerika Utara itu dilaporkan meninggal dunia.

Kelab berkenaan memaklumkan Zulkifli meninggal dunia pada 6 pagi, 29 Mei (waktu tempatan), semasa berlindung di gua salji yang dikenali sebagai Football field.

-- BERNAMA