Ringkasan AI
- FAMA mengenal pasti 262 peruncit di seluruh negara untuk program Semarak Syawal 1446H, membolehkan orang ramai membeli barangan keperluan menjelang Hari Raya Aidilfitri.
- Program ini menyasarkan nilai jualan RM5 juta di Sarawak dengan 72 lokasi program berlangsung dari hari ini hingga 30 Mac.
- Jualan Agro Madani (JAM) menawarkan ayam bulat segar, telur selenium, dan produk industri asas tani tempatan dengan harga lebih murah.
Ketua Pengarah FAMA Abdul Rashid Bahri berkata lembaga itu menyasarkan nilai jualan berjumlah RM5 juta bagi inisiatif berkenaan di Sarawak, dengan 72 lokasi program dikenal pasti di seluruh negeri berlangsung hari ini sehingga 30 Mac.
"Perasmian program di peringkat kebangsaan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu bakal diadakan pada 29 Mac ini di kawasan parlimen beliau, iaitu Kota Raja.
"Kita lihat di Medan Niaga Satok, Kuching ada lebih kurang 870 usahawan serta peniaga kecil yang terlibat dalam program ini, jadi kita mengharapkan pengunjung daripada sekitar Kuching dan kawasan berhampiran untuk kita kongsi rezeki dengan usahawan tempatan kita," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Sambutan Semarak Syawal 1446H peringkat Sarawak, di sini hari ini.
Abdul Rashid berkata kesemua 72 peruncit di Sarawak melibatkan Medan Niaga Satok, dua peruncit pasar tani kekal, pasar tani (11), Agrobazaar Rakyat (21) dan Agrobazaar Kedai Rakyat (37).
Turut diadakan sebagai pengisian program ialah Jualan Agro Madani (JAM) dengan tawaran antaranya satu metrik tan ayam bulat segar berharga RM10 seekor, telur selenium gred B berharga RM15 sepapan dan produk industri asas tani tempatan.
-- BERNAMA
