NIBONG TEBAL: Datang dengan ambulans, begitulah keazaman yang ditunjukkan Rosnah Ramli, 50, dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap hari ini.

Pesakit strok dan terpaksa berkerusi roda itu tiba di pekarangan pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Duri dengan bantuan ambulans pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Yayasan Amal Malaysia sekitar 11 pagi.

Dia berkata strok di bahagian kiri badan yang dialaminya sejak tiga tahun lepas menyebabkannya tidak dapat berjalan, namun bukan penghalang buat dirinya menunaikan tanggungjawab mengundi.

"Sebenarnya anaklah yang menghubungi yayasan sejak seminggu lepas untuk memudahkan pergerakan saya ke pusat mengundi dan ini pengalaman pertama saya pergi mengundi dengan menaiki ambulans," katanya ketika ditemui pemberita.

Mengikut data Suruhanjaya Pilihan Raya seramai 5,745 pemilih berdaftar di pusat mengundi SK Sungai Duri, membabitkan sembilan saluran.

Pada PRK itu hari ini, sebanyak sembilan pusat mengundi dengan 65 saluran dibuka mulai 8 pagi hingga 6 petang yang melibatkan 39,151 pengundi berdaftar.

PRK DUN Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan (PH) Dr Joohari Ariffin dan calon Perikatan Nasional (PN) Abidin Ismail yang diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

-- BERNAMA