Presidennya, Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, setakat ini lebih 40 peratus daripada 12,000 premis di bawah persatuan itu tidak lagi menjual rokok.
“Saya rasa daripada lebih daripada lebih 12,000 premis, hampir 40 peratus tidak lagi menjual rokok.
“Kita tengok contoh restoran di Puncak Alam, baru tadi Menteri Kesihatan beri surat penghargaan kerana tidak menjual rokok.
“Saya rasa ini satu hala tuju yang baik dalam industri makanan ini. Perumpamaan dia macam ini, kalau kata arak haram, kalau zaman dulu ada kedai masih jual tapi sekarang ini dah tiada dah.
“Kalau boleh, restoran ini, kalau nakkan semuanya halal, rokok ini pun kita hindarkanlah dalam masa terdekat ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri program Walkabout Premis Bersih, Bebas Asap (BeBAS di Puncak Alam, Kuala Selangor pada Ahad yang disempurnakan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Dalam pada itu, beliau berkata PRESMA juga mengambil kesempatan menyuarakan sedikit kebimbangan dengan pelaksanaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).
Menurutnya, ada peruntukan dalam akta itu yang mengatakan premis boleh dikompaun kerana gagal menghalang orang merokok di premis.
“Yang itu kami terkilan sikit sebab bidang kuasa kami cukup terhad tapi kami lega kerana dapat menyampaikan pandangan kepada Menteri Kesihatan dan pegawai beliau.
“Saya yakin mereka akan datang dengan satu jalan penyelesaian yang baik. Semua memang sudah digazetkan tapi saya rasa perlu ada juga budi bicara daripada pegawai-pegawai yang buat pemaantauan.
“Saya juga berharap pemantauan berkala dapat dilakukan di premis untuk membudayakan masyarakat kita tidak merokok di premis makanan,” katanya.