"Sejak kebelakangan ini, terdapat ramai suara-suara liberal tampil ke hadapan; mereka yang berpura-pura patriotik sedangkan tidak mengetahui apa-apa tentang perjuangan, tidak tahu apa-apa tentang prinsip yang didokong pejuang-pejuang dahulu," katanya pada majlis ulangtahun ke-5 IDEAS serta peringatan Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ke-112.
Menurut Tunku Zain, apa yang menyedihkan ialah golongan tersebut tidak mempunyai pegangan tetapi hanya mengambil kesempatan bagi kepentingan diri mereka sendiri.
Tunku Abdul Rahman menaiki pesawat dari Lapangan Terbang Sungai Besi pada 6 Julai 1963 untuk ke Singapura dan seterusnya ke London bagi menandatangani perjanjian penubuhan Malaysia. -Sumber Arkib Negara
Tunku Zain berkata demikian dalam ucapan pembukaan majlis tersebut yang diadakan di Memorial Tunku Abdul Rahman hari ini.
Selain itu, Tunku Zain juga berkata tidak ramai ahli-ahli Parlimen pada masa kini yang berpegang pada harapan rakyat dalam terus menjadikan Malaysia sebuah negara yang aman dan bahagia.
"Sebab itu lah gerakan masyarakat sivil amat penting dalam sesebuah demokrasi, dan kami di IDEAS berbuat yang terbaik untuk memberi sumbangan," katanya.
Sementara itu, seramai 20 belia telah dipilih oleh IDEAS sebagai Felo Muda Perpaduan Nasional, yang akan mengambil bahagian dalam program Felo Muda Perpaduan Nasional.
Mereka mewakili pelbagai komuniti etnik dan agama yang berbeza dari seluruh Malaysia.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS, Wan Saiful Wan Jan, 20 individu tersebut telah dipilih daripada hampir 50 permohonan berdasarkan kaliber mereka sebagai seorang pemimpin.
Mereka akan melalui lima bengkel latihan dimana mereka akan diberi pendedahan kepada topik-topik seperti hubungan etnik dan agama, integriti, pembinaan negara, dan juga latihan lain seperti perancangan strategik, kaedah penyelidikan dan pengurusan media.
Program Felo Muda Perpaduan Nasional itu dianjurkan oleh IDEAS dengan kerjasama dari Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional di Jabatan Perdana Menteri, Institut Integrasi Malaysia (IIM) dan Negaraku.