KAPAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Selangor berjaya menumpaskan dua aktiviti penyelewengan barang kawalan bersubsidi melibatkan gas petroleum cecair (LPG) dan minyak masak peket dianggarkan bernilai RM200,000 selepas menyerbu sebuah stor haram di Jalan Syapadu, Rantau Panjang dekat sini, pada Isnin lalu.


Ringkasan AI
  • KPDN Selangor berjaya menumpaskan dua aktiviti penyelewengan barang kawalan bersubsidi melibatkan LPG dan minyak masak peket di Kapar, Selangor.
  • Serbuan mendapati premis tersebut memindahkan minyak bersubsidi ke dalam lori tangki dan memindahkan gas LPG 14kg ke dalam tong LPG 50kg untuk dijual semula ke industri.
  • Pihak berkuasa merampas barang bernilai RM200,000 dan menahan 15 individu, termasuk warga asing, untuk membantu siasatan.


Pengarah KPDN Selangor, Mohd Zuhairi Mat Radey, berkata hasil risikan mendapati premis tersebut telah beroperasi selama lebih kurang setahun dan dijadikan stor haram untuk memindahkan minyak bersubsidi dalam bungkusan 1kg ke dalam lori tangki bagi tujuan pemasaran semula ke industri.

Beliau menjelaskan bahawa sindiket ini mampu memproses empat tan minyak masak bersubsidi sehari, di mana minyak daripada peket yang dipotong akan dipindahkan ke dalam lori tangki tersebut. Lori tangki tersebut merupakan salah satu kaedah penghantaran bagi memasarkan minyak bersubsidi ke pasaran gelap.

‘Jadi dia akan membawa lori dan dijual kepada lori, dan tangki ini akan bergerak,’ katanya pada sidang media di lokasi di sini, hari ini.

Dalam pada itu, hasil operasi ini juga menemukan  aktiviti ‘decanting’ iaitu pemindahan gas LPG 14kg (kegunaan domestik) ke dalam tong LPG 50kg yang digunakan oleh industri. Hos penyambung dan peralatan khas untuk tujuan ini juga ditemui di lokasi serbuan.

Pihak berkuasa telah merampas 6,910 kg minyak masak bersubsidi, 341 tong LPG pelbagai saiz, peralatan pemindahan LPG dan minyak masak, serta 4 buah lori tangki yang digunakan untuk penghantaran. Keseluruhan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM200,000.

Hasil serbuan tersebut, seramai 15 individu ditahan untuk membantu siasatan, terdiri daripada 5 lelaki warga tempatan dan baki adalah warga asing dari Indonesia.

'Kita telah serahkan mereka kepada Jabatan Imigresen Malaysia.

‘Tiga daripada mereka didapati tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah," katanya lagi.

Beliau berkata kes disiasat Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] iaitu memiliki barang kawalan dengan niat melakukan kesalahan serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mana-mana yang lebih tinggi.

KPDN Selangor turut menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti penyelewengan barangan bersubsidi untuk menyalurkan aduan melalui saluran rasmi KPDN.

Pihak berkuasa juga akan terus memperketat penguatkuasaan bagi memastikan barang kawalan dan subsidi sampai kepada rakyat yang berhak.