KAJANG: Polis berjaya menumpaskan satu sindiket pemprosesan dan pengedaran dadah yang dipercayai berselindung di sebalik syarikat pengawal keselamatan, selepas merampas dadah bernilai kira-kira RM7.5 juta dalam sembilan serbuan di sekitar Cheras dan Kajang, Selangor, Rabu lepas.


Ringkasan AI
  • Polis berjaya merampas dadah bernilai kira-kira RM7.5 juta dalam sembilan serbuan di Cheras dan Kajang, Selangor, dan menahan 17 individu yang terlibat, termasuk enam lelaki dan seorang wanita warga asing.
  • Sindiket yang diketuai oleh lelaki tempatan berusia 39 tahun ini menggunakan perkhidmatan kurier untuk mengedarkan dadah di Lembah Klang. Polis berhasil membongkar tempat memproses dadah serta stor penyimpanan, merampas meth oil, syabu, ketamin, heroin, dan pil erimin 5, serta bahan kimia dan peralatan untuk menghasilkan dadah.
  • Kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula 6 Jun untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. Tindakan juga diambil untuk menyita harta bernilai RM1.1 juta, termasuk kenderaan, wang tunai, dan barang kemas. JSJN masih mencari anggota sindiket yang masih bebas, dan masyarakat diminta untuk memberikan maklumat kepada polis.


Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Khaw Kok Chin berkata 17 individu ditahan dalam serbuan itu, yang terdiri daripada enam lelaki dan seorang wanita warga asing, serta sembilan lelaki dan seorang wanita warga tempatan.

Beliau berkata semua yang ditahan dalam serbuan 1.10 petang hingga 9.30 malam di beberapa rumah teres dan apartmen sekitar Cheras dan Kajang itu berumur 18 hingga 50 tahun.

Sindiket yang beroperasi sejak awal tahun itu diketuai oleh lelaki warga tempatan berusia 39 tahun yang menggunakan perkhidmatan kurier untuk mengedar dadah di pasaran tempatan terutama sekitar Lembah Klang.

Khaw berkata hasil risikan polis berjaya membongkar tempat memproses serta stor penyimpanan dadah, dan merampas pelbagai jenis dadah seperti meth oil 526.75 kilogram (kg) bersamaan dengan 211 kg syabu serta 0.409 kg ketamin, 0.504 kg heroin, 10,000 biji pil erimin 5 dan 1.11 kg serbuk MDMA.

"Turut dirampas dalam operasi ini adalah 28.8 kg ephedrine, pelbagai jenis cecair dan serbuk bahan kimia untuk penghasilan dadah serta pelbagai peralatan dipercayai digunakan untuk memproses dadah heroin, ketamin dan syabu," katanya dalam sidang media di Balai Polis Semenyih, di sini, hari ini.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula 6 Jun lepas bagi membantu siasatan.

Selain itu Khaw berkata tindakan juga diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 bagi harta-harta ahli sindiket yang disita, dianggarkan bernilai RM1.1 juta.

"Harta-harta yang disita adalah lapan kenderaan antaranya kereta jenis Honda HRV, BMW, Toyota Hilux dan Honda Civic serta sebuah motosikal jenis Honda EX5. Turut disita wang tunai kira-kira RM158,000 dalam pelbagai nilai mata wang negara serta pelbagai jenis barang kemas," katanya.

Khaw berkata JSJN masih berusaha mengesan anggota rangkaian sindiket itu yang masih bebas, terutama yang bertindak sebagai pembekal, dan orang ramai yang maklumat mengenai sindiket ini diminta menyalurkannya kepada polis dengan menelefon hotline JSJN di talian 012-2087222 bagi membantu siasatan.

-- BERNAMA