Timbalan Ketua Polis Sandakan Supt K Ramasamy berkata suspek berusia 42 tahun itu ditahan polis bahagian siasatan jenayah narkotik di sini semasa memproses bahan terbabit di kediamannya di kawasan itu pada 12 tengah hari.
"Suspek ditahan bersama 7.85 kilogram serbuk ketum termasuk peralatan memproses dan menyimpan air ketum serta 227 botol cecair vape pelbagai jenama dan saiz yang mengandungi dadah dengan nilai rampasan dianggarkan RM25,230.
"Siasatan awal mendapati suspek memproses dan menjual sendiri air ketum kepada pelanggan tetap dengan cara menyamar sebagai penghantar makanan untuk menghantar bekalan air ketum dan cecair vape berkenaan bagi mengaburi mata pihak polis," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Ramasamy berkata suspek yang tidak mempunyai pekerjaan tetap itu menjalankan kegiatan memproses air ketum dan menjual cecair vape sejak dua tahun lepas dan pernah ditangkap beberapa kali oleh polis atas kesalahan sama.
Suspek kini ditahan reman selama empat hari sehingga 20 Ogos ini bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952, tambah beliau.
Selain itu, polis sedang mengesan pembekal bahan terlarang itu kepada suspek, katanya.
-- BERNAMA