SEPANG: Polis berjaya menumpaskan kegiatan penyeludupan dadah bernilai RM2.6 juta selepas menahan seorang lelaki yang bertindak sebagai ‘transporter’ di Sabak Bernam, pada Khamis lepas.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan polis mendapati dadah jenis syabu dengan berat 50 kilogram (kg) dan pil ekstasi (enam kg) itu dirancang untuk dipasarkan ke negara jiran.

Menurutnya, penangkapan lelaki itu juga membawa kepada dua lagi tangkapan, seorang lelaki dan wanita, kedua-duanya warga Indonesia.

“Suspek berumur 40 tahun, seorang penganggur, telah berkahwin. Semakan rekod mendapati suspek mempunyai enam ekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

“Hasil saringan awal air kencing adalah positif methamphetamine. Nilai rampasan dadah bagi kes ini berjumlah RM2.6 juta dan dipercayai untuk dipasarkan ke negara jiran.

“Suspek ditahan reman selama enam hari di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah dari 8 Ogos hingga 13 Ogos 2024.

“Kes ini disiasat di bawah seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. Jika disabitkan kesalahan, akan dijatuhi hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada sebatan,” katanya.

Tambah beliau, suspek dipercayai sudah enam bulan melakukan kegiatan tersebut dengan diberikan upah sebanyak RM2,800 untuk menyeludup dadah itu ke negara jiran.

Jelas Hussein Omar, 50 kg syabu yang dirampas boleh dibekalkan kpada 100,000 orang dalam masa sehari, mengambil kira penggunaan harian sebanyak 0.5 gram.

Manakala, pil ekstasi sebanyak enam kg boleh dibekalkan kepada 20,000 orang, mengambil kira penggunaan harian sebanyak 0.3 gram.

“PDRM khususnya Polis Selangor mengalu- alukan orang awam menyalurkan maklumat-maklumat jenayah terutamanya berkaitan dadah kepada pihak polis.

“Ini bagi memastikan kita dapat membanteras aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah secara habis-habisan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Ketua Polis Selangor di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang pada Isnin.