ALOR SETAR: Polis telah menemukan lima kelongsong peluru yang mana tiga dilepaskan polis dan dua kelongsong peluru yang ditembak dari senjata semi automatik milik penjenayah yang maut ditembak polis dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis di jalan Bukit Kechik, Napoh, Changlun dekat sini lewat petang Jumaat.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, sejumlah kelongsong itu ditemui di tempat kejadian selepas Jabatan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah melakukan pemeriksaan susulan.

“Sepasukan anggota dari unit forensik dan dibantu Bahagian D9 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah telah melakukan pemeriksaan menyeluruh di lokasi kejadian berjaya menemui sejumlah lima kelongsong peluru dalam kejadian berbalas tembak.

“Kenderaan yang digunakan suspek turut dirampas untuk siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.

Menurut Fisol mayat suspek dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk bedah siasat.

Katanya, polis akan mengeluar kenyataan hasil daripada bedah siasat yang masih dilakukan sehingga petang tadi.

mayat suspek dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk bedah siasat. - Foto Astro AWANI


Jelas Fisol, pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti penglibatan suspek dengan penjenayah lain dalam melakukan aktiviti penyeludupan dan penjualan senjata api dan peluru.

Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960.

Dalam kejadian jam 5.30 petang Jumaat suspek maut apabila melepaskan dua das tembakan sebelum terkena tembakan balas polis yang mengenai bahagian dada kiri suspek.

dua pucuk pistol jenis 9 milimeter (mm) dan Point .38 serta 240 butir peluru berjaya dirampas. - Foto Astro AWANI


Dalam kejadian itu suspek yang memandu kereta jenis Proton Saga telah diarah memberhentikan kenderaan oleh anggota polis namun enggan sebelum kenderaan suspek berjaya di sekat seratus meter dari lokasi dia diarahkan berhenti.

Dengan tumpasnya suspek polis menjumpai dan merampas dua pucuk pistol jenis 9 milimeter (mm) dan Point .38 serta 240 butir peluru.

Lelaki bersenjata api disyaki penjenayah maut ditembak polis