KUALA LUMPUR: Polis menembak mati seorang penjenayah dalam kejadian berbalas tembakan di Jalan Bukit Beruntung, Rawang dekat sini, malam tadi.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata dalam kejadian pada 9.33 malam itu, lelaki tempatan berusia 36 tahun terbabit ditembak mati selepas enggan memberhentikan kenderaannya sebelum melepaskan tembakan kepada polis.

"Suspek mempunyai 16 rekod jenayah dan dadah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Hussein berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960.

-- BERNAMA