PASIR PUTEH: Seorang lelaki yang dikehendaki pihak berkuasa maut selepas berbalas tembakan dengan sepasukan polis di Jalan Jeram Pasu di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, yang turut berada di lokasi kejadian, memaklumkan suspek berusia 31 tahun merupakan warga tempatan maut dalam kejadian sekitar jam 5.30 pagi tadi.

Beliau berkata, anggota Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan telah mengekori suspek bermula dari Melor, Kota Bharu sebelum cuba menahan kereta jenis Bezza dinaiki suspek di Jalan Jeram Pasu.

Bagaimanapun suspek melepaskan beberapa das tembakan sebelum pihak polis membalas tembakan bagi mempertahankan diri.

Suspek maut di tempat kejadian dan hasil pemeriksaan pihak polis menjumpai sepucuk pistol semi auto, sepucuk pistol tiruan, sebilah parang dan sebungkus tembakau yang dipercayai untuk diseludup masuk ke dalam penjara.

Hasil semakan mendapati suspek mempunyai 24 rekod jenayah, masing-masing 17 kes berkaitan jenayah dan selebihnya berkaitan narkotik.

Kejayaan polis memburu suspek itu hasil dari risikan dan operasi cegah jenayah yang dijalankan.

Mayat suspek dihantar ke Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh untuk proses bedah siasat.