KLANG: Polis Selangor, bersama Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), sentiasa bekerjasama dalam berkongsi maklumat sejak awal siasatan terhadap GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) di negeri tersebut.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan, bagaimanapun menjelaskan bahawa pihaknya tidak dapat mengulas lanjut mengenai perkara itu kerana siasatan dikendalikan oleh pasukan khas di peringkat Bukit Aman.

"Sejak awal, Polis Selangor memang telah bekerjasama dengan Mais dan Jais dalam perkongsian maklumat berkaitan isu GISBH. Namun, kami tidak boleh memberi komen lanjut kerana siasatan ini dikendalikan oleh pasukan khas bersepadu di Bukit Aman," katanya.

Beliau kepada pemberita selepas menghadiri Selangor Police Integrity Half Marathon 2024 yang disempurnakan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari hari ini.

Hussein berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung titah Sultan Selangor menzahirkan rasa dukacita dengan isu GISBH yang dikaitkan dengan jenayah dan kini sedang disiasat pihak polis.

Sehubungan itu, baginda mahu agar semua rumah amal dan sekolah Islam di bawah kawalan GISBH dan rangkaiannya yang tidak berdaftar atau disyaki terlibat dengan kegiatan jenayah termasuk jenayah syariah, diarah ditutup dengan segera dan tidak dibenarkan beroperasi di Selangor.

Ia sebagai langkah pencegahan bagi mengelak kanak-kanak yang terlibat daripada terus dianiaya.

Dalam perkembangan lain, Hussein memaklumkan siasatan berhubung kematian pempengaruh Muhammad Nidza Afham Mokhtar telah hampir selesai dan akan dirujuk kepada timbalan pendakwa raya dalam waktu terdekat.

Katanya untuk masa ini, kes tersebut masih diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Mayat Muhammad Nidza Afham, 23 yang ditemukan di Sungai Klang petang 14 Ogos lepas, selepas dilaporkan hilang sehari sebelum kejadian oleh ahli keluarganya.

-- BERNAMA