Menurut Agensi Berita dan PeneranganPalestin (WAFA), Penyelaras Kemanusiaan PBB untuk Wilayah Palestin Yang Diduduki, Muhannad Hadi menzahirkan kebimbangan mengenai situasi kritikal itu dalam satu kenyataan pada Khamis, sambil menekankan kepada kekurangan makanan, air, bahan api dan bekalan perubatan yang amat serius di Gaza.
Hadi memaklumkan sejak enam minggu lepas, Israel telah menyekat kemasukan barangan komersial penting ke wilayah tersebut, sekali gus memburukkan lagi keadaan yang sudah sememangnya serius.
"Nyawa lebih dua juta rakyat Palestin di Gaza berada di ambang bahaya," katanya, menyifatkan perang dan sekatan berterusan itu sebagai tindakan yang membawa penduduk awam ke tahap kritikal untuk terus hidup."
Beliau berkata penduduk Gaza sedang bergelut dengan keadaan mengancam nyawa dan krisis kemanusiaan yang semakin meruncing, tanpa sebarang akses kepada bantuan kritikal yang sangat diperlukan.
Walaupun agensi-agensi kemanusiaan di Gaza terus komited untuk meneruskan operasi mereka, Hadi meluahkan kebimbangannya terhadap kemampuan mereka menjalankan tugas di bawah keadaan seperti itu.
Beliau dengan tegas menyeru agar akses kemanusiaan yang selamat dan tanpa halangan diberikan ke wilayah itu, sambil menegaskan yang bantuan mesti disalurkan melalui saluran sah dan selamat bagi mengelakkan penderitaan yang lebih teruk.
-- BERNAMA