Menurut Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah MKI, Datuk Dr Nooh Gadut, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah MKI Kali Ke-125 yang berlangsung pada 24 hingga 26 September lalu.
Beliau menjelaskan, antara fahaman menyeleweng yang dianuti oleh kumpulan itu termasuk mentakrifkan Asy Syeikh Muhammad Abdullah As-Suhaimi atau Syeikh Muhammad Suhaimi sebagai Imam Mahdi, manakala pengasas al-Arqam, Asaari Muhammad, pula dianggap pembantu Imam Mahdi di akhir zaman.
"Semua orang hendaklah menjauhi ajaran, pegangan dan fahaman berkenaan dan dilarang mempercayai, mengajar, menyebarkan, mengamalkan atau menjadi pengikutnya.
"Mereka yang mempercayai, mengajar, menyebarkan, mengamalkan atau menjadi pengikut ajaran berkenaan hendaklah bertaubat dengan taubat nasuha,” kata beliau dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis.
Tambah Nooh, orang ramai juga dilarang memiliki, menyimpan, menjual, memuat naik, memuat turun, menyebarkan, mengedarkan, atau menerbitkan poster, buku, majalah, risalah, atau bahan bacaan lain dalam apa jua bentuk.
Katanya, larangan ini merangkumi bahan yang dicetak, ditaip atau ditulis, serta semua jenis keluaran termasuk filem, audio visual, rakaman, laman sesawang dan media cetak atau elektronik.
"Jawatankuasa ini juga mencadangkan agensi kerajaan berkaitan di peringkat Persekutuan dan negeri membantu melaksanakan proses istitabah (bertaubat) dan memberi peruntukan atau pembiayaan bersesuaian dengan tujuan berkenaan," ujar beliau.
Sebelum ini, beberapa negeri termasuk Sabah, Selangor, Melaka, Pulau Pinang, Perlis, dan Pahang telah mengisytiharkan amalan GISBH sebagai sesat.