SEREMBAN: Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan akan membuat keputusan sama ada perlu mengeluarkan fatwa khusus GISB Holdings Sdn Bhd (GISB) pada hujung bulan ini, kata Mufti negeri Prof Datuk Dr Mohd Faudzinaim Badaruddin.

Beliau berkata sehingga kini, jawatankuasa itu masih melihat relevansi fatwa al-Arqam pada 2016 bagi menangani isu GISB.

"Keputusan Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) hari ini belum diterima secara rasmi lagi, keputusan itu akan dibawa ke Muzakarah Jawatankuasa Fatwa negeri pada akhir bulan ini bagi melihat keperluan sama ada satu fatwa khusus GISB perlu dikeluarkan atau tidak.

"Negeri Sembilan masih merujuk kepada fatwa al-Arqam 2016 bagi penguatkuasaan terhadap pengikut GISB. Penguatkuasaan dan pendakwaan di mahkamah juga berdasarkan warta berkenaan," katanya kepada pemberita di sini hari ini

Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) hari ini memutuskan ajaran, pegangan dan fahaman GISB adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.

Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah MKI Datuk Dr Nooh Gadut berkata mesyuarat jawatankuasa itu yang bersidang pada 24-26 Sept lepas yakin dan berpuas hati dengan hujah dan fakta yang dikemukakan oleh penyelidik mengenai GISB.

Media sebelum ini melaporkan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun berkata kerajaan negeri kekal dengan pendirian merujuk dan menggunakan pewartaan sesat bagi penyelewengan al-Arqam pada 2016 terhadap ajaran dan kepercayaan pengikut GISB di negeri ini.

-- BERNAMA