Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad bagaimanapun berkata perkara itu akan diperincikan dalam Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri hujung bulan ini.
"Kita akur dan tindakan penguatkuasaan perlu dilakukan terhadap mana-mana orang yang terlibat dan bercanggah dengan apa diputuskan.
"Saya juga yakin Kementerian Dalam Negeri (KDN) mampu tangani hal (penguatkuasaan) ini dengan sebaiknya menggunakan kaedah tersendiri," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penutup Sesi Libat Urus Bersama Pengendali Industri Pelancongan di Daerah Lenggong di Resort Tasik Raban, di sini, hari ini.
Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah MKI Datuk Dr Nooh Gadut mengesahkan GISB diisytihar sebagai sesat dan telah diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah MKI ke-125 yang berlangsung pada 24 hingga 26 Sept lepas.
Nooh menjelaskan antara fahaman menyeleweng yang dianuti oleh kumpulan itu termasuk mentakrifkan Asy Syeikh Muhammad Abdullah As-Suhaimi atau Syeikh Muhammad Suhaimi sebagai Imam Mahdi manakala pengasas al-Arqam Asaari Muhammad pula dianggap pembantu Imam Mahdi di akhir zaman.
Sementara itu, Saarani berkata buat masa ini tiada tangkapan susulan dibuat terhadap ahli GISB di Perak namun proses pemulihan dari sudut akidah sedang dilaksanakan agensi terlibat seperti Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPk).
"Buat masa ini pemulihan dari sudut akidah dilaksanakan JAIPk manakala bantuan dari sudut kebajikan terutama kanak-kanak tertakluk di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)," katanya.
-- BERNAMA