KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir di Kelantan, Kedah, Terengganu, Johor, Perak dan Melaka terus menunjukkan trend penurunan setakat malam ini, manakala jumlah mangsa di Pahang kekal tidak berubah.

Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir di dua jajahan terus catat penurunan setakat 8 malam ini kepada 24,416 orang yang ditempatkan di 57 pusat pemindahan sementara (PPS), membabitkan 7,958 keluarga berbanding 28,038 orang pada petang tadi.

Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memaklumkan jajahan Tumpat kekal mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 14,105 orang di 32 PPS, diikuti Pasir Mas seramai 10,311 orang yang ditempatkan di 25 PPS.

Portal infobanjir.water.gov.my, Jabatan Pengairan dan Saliran pula memaklumkan dua sungai utama di negeri itu kekal melepasi paras bahaya, namun dalam trend menurun iaitu Sungai Golok di Rantau Panjang 9.05 meter (m) dan Sungai Golok di Tumpat (3.40m).

Jumlah mangsa banjir di KEDAH terus berkurangan kepada 4,141 orang daripada 1,230 keluarga setakat 8 malam ini, berbanding 4,419 orang daripada 1,315 keluarga petang tadi dan semua mangsa daripada tiga daerah masih ditempatkan 23 PPS.

Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain dalam kenyataan berkata Kota Setar masih mencatatkan jumlah tertinggi dengan seramai 3,211 orang daripada 965 keluarga yang ditempatkan di 16 PPS, diikuti Kubang Pasu seramai 772 orang daripada 221 keluarga di empat PPS dan Pokok Sena seramai 158 orang daripada 44 keluarga di tiga PPS.

Situasi banjir di TERENGGANU turut semakin pulih, apabila jumlah mangsa di tiga daerah berkurangan kepada 1,692 orang yang ditempatkan di 11 PPS setakat 8 malam, berbanding 4,025 orang pada 4 petang tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu memaklumkan, daerah Kuala Nerus mencatatkan seramai 1,429 mangsa (373 keluarga) dan ditempatkan di lapan PPS, manakala daerah Kuala Terengganu seramai 183 mangsa (41 keluarga) masih berlindung di sebuah PPS dan di daerah Setiu melibatkan 80 mangsa (14 keluarga) berteduh di dua PPS.

Berdasarkan laporan di https://publicinfobanjir.water.gov.my/?lang=en, paras air sungai di dua stesen iaitu Sungai Nerus di Kampung Jeram dan Parit Utama Padang Kemunting (F1), Kuala Nerus melepasi paras waspada.

Di JOHOR, jumlah mangsa mencatatkan sedikit penurunan kepada 975 orang daripada 271 keluarga setakat 8 malam ini, berbanding 993 orang petang tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Tan Sri Dr Azmi Rohani dalam kenyataan memaklumkan, terdapat 17 PPS aktif di dua daerah terjejas yang melibatkan sebanyak 799 mangsa daripada 223 keluarga di Segamat ditempatkan di 15 PPS, sementara di Tangkak kekal 176 mangsa daripada 48 keluarga yang berlindung di dua PPS iaitu Dewan Serbaguna Penghulu Long dan SK Telok Rimba.

Beliau berkata dua sungai di Segamat dilaporkan masih melepasi paras bahaya iaitu stesen Sungai Muar di Jeti Kampung Tekam dengan bacaan 4.83m, manakala stesen Sungai Muar di Buloh Kasap pula merekodkan bacaan 9.39m.

Di PERAK, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam kenyataan memaklumkan jumlah mangsa banjir malam ini semakin berkurangan kepada 149 mangsa daripada 51 keluarga di lima PPS berbanding 158 mangsa petang tadi.

Menurut sekretariat itu, seramai 92 mangsa daripada 32 keluarga masih ditempatkan di tiga PPS di daerah Kinta serta seramai 57 mangsa daripada 19 keluarga juga turut berlindung di dua PPS di daerah Perak Tengah.

Di MELAKA Sekretariat JPBN Melaka dalam kenyataan memaklumkan jumlah mangsa banjir menurun kepada 148 orang daripada 37 keluarga pada 8 malam ini berbanding 160 orang daripada 41 keluarga pada 4 petang tadi dengan 109 mangsa daripada 27 keluarga ditempatkan di PPS SK Parit Penghulu manakala 39 mangsa daripada 10 keluarga berlindung di PPS SK Seri Mendapat, masing-masing membabitkan daerah Jasin.

Sementara itu, jumlah mangsa banjir di PAHANG kekal dengan 15 orang daripada lima keluarga di daerah Maran setakat 8 malam ini, menurut aplikasi Info Bencana JKM.

Semakan di infobanjir.water.gov.my, JPS pula, hanya satu sungai utama di negeri itu melepasi paras bahaya iaitu Sungai Luit di Kampung Subuh, Maran (27.05m) tetapi menunjukkan trend menurun, manakala Sungai Pahang di Lubuk Paku melebihi tahap amaran.

-- BERNAMA