KUALA LUMPUR: Kepesatan pembangunan tanpa pelan jangka panjang antara faktor utama banjir berlaku terutama di Johor.

Pengarah Pejabat Pelestarian Universiti Teknologi M, Prof Madya Ir Dr Mohd Fadhil Md Din berpandangan, ia terbukti apabila banyak projek kediaman dibangunkan tanpa ada tambahan saliran atau kolam tadahan baharu.

“Sepatutnya bila ada pembinaan terutama kawasan kediaman, perlu ada laluan air yang baru atau kolam takungan baru, lebih bagus ia disalirkan bawah tanah.

“Kalau hanya harap saliran atau parit mungkin tidak mencukupi sebab kerana kita sudah ada kepadatan penduduk dan pembangunan tidak mesra sedia ada.

“Jadi ini menuntut kepada pembaharuan dalam bentuk perancangan teknikal dan kejuruteraan seperti dibangunkan di Jepun,” katanya semasa program Pantau Agenda Reformasi pada Isnin

Mohd Fadhil juga tidak menafikan pembinaan kolam bawah tanah memerlukan kos tinggi namun ia bermanfaat untuk jangka masa panjang.

Katanya, ini berdasarkan Jabatan Statistik Malaysia yang memaklumkan infrastruktur antara sektor paling terkesan dan kos pemulihannya menjangkau sekitar RM300 juta setiap tahun.

Rentetan itu, beliau berpendapat cadangan itu solusi terbaik memandangkan kerajaan juga banyak memperuntuk pelan tambahan kepada mangsa banjir yang kadangkala berlaku lebih daripada sekali dalam setahun.