KUALA LUMPUR: Seramai 8,066 mangsa banjir ditempatkan di 41 pusat pemindahan sementara (PPS) di Kedah setakat 8 malam tadi.

Menurut laporan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kesemua 2,582 keluarga berkenaan melibatkan penduduk di lima daerah di negeri itu.

Daerah Kota Setar mencatatkan jumlah mangsa terbanyak iaitu 4,291 orang, diikuti Pendang (1,483), Kubang Pasu (1,349), Pokok Sena (796) dan Bandar Baharu (147).

Laman sesawang Public Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan lima sungai di Kedah berada pada paras bahaya iaitu Sungai Padang Terap di Kepala Batas, Sungai Bata di Kampung Bata di Kubang Pasu, Sungai Anak Bukit di Taman Aman, Sungai Anak Bukit di Jambatan TAR dan Sungai Kedah di Jambatan Lebuhraya, Kota Setar.

Di PERAK, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dalam kenyataan memaklumkan jumlah mangsa banjir kekal 27 orang daripada lima keluarga yang ditempatkan di PPS Changkat Lobak di Kerian, setakat 8 malam.

Jabatan Pengairan dan Saliran pula memaklumkan Kolam Air Bukit Merah di Kerian berada pada tahap amaran dengan paras air setinggi 9.08 meter.

-- BERNAMA