ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor membidas pihak-pihak yang mengaitkan keputusan Bin Zayed International LLC menarik diri daripada projek RM40 bilion Langkasuka di Langkawi dengan kegagalan kerajaan negeri.

Menurutnya, projek berkenaan tiada kaitan dengan kerajaan negeri kerana ia merupakan projek swasta yang menjalin usahasama dengan syarikat antarabangsa tersebut.

“Itu bukan projek kerajaan negeri, ia inisiatif swasta antara Widad Business Group Sdn Bhd dengan Bin Zayed.

“Tak tahu pasal apa baru berbangkit sedangkan mereka tarik diri sudah diumumkan dalam Bursa Malaysia sebab ia syarikat yang tersenarai dalam Bursa.

“Ada pula marah saya, bukan ada kaitan dengan saya pun. Projek pun diumumkan oleh Perdana Menteri ketika itu di Kuala Lumpur,” katanya pada sidang akhbar selepas membentangkan Belanjawan Kedah 2025 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman pada Ahad.

Pada Jumaat, konglomerat pelaburan global, Bin Zayed International Group of Companies (BZI) mengesahkan menarik diri secara rasmi daripada projek Langkasuka di Langkawi bernilai RM40 bilion.

Pengarah Urusan Bin Zayed International (M) Bhd, Datuk Seri Dr Shamir Kumar Nandy berkata, mereka memutuskan menarik diri sejak 2022 untuk memberi tumpuan kepada peluang yang lebih baik, realistik dan potensi lebih besar.

Pada 2021, Widad Business Group Sdn Bhd menjalin kerjasama strategik dengan BZI untuk membantu membangunkan pembangunan bercampur RM40 bilion dikenali sebagai Widad@Langkasuka di Langkawi.

Dalam pada itu, Sanusi menjelaskan, fungsi kerajaan negeri berkaitan projek berkenaan hanya melibatkan kelulusan tanah.

“Prosedur meluluskan tanah mereka ikut undang-undang. Kita luluskan tanah dan dia bayar premium dan cukai. Itu saja fungsi kerajaan negeri.

“Selepas itu, peranan mereka untuk buat bisnes dan bangunkan tanah tersebut. Biarpun projek batal namun tidak merugikan kerajaan negeri kerana sudah dibayar premium tanah dan cukai puluhan juta,” jelasnya.

Menurutnya, Widad membayar premium tanah kerana dibangunkan syarikat tersebut yang kemudian menjalin kerjasama bersama BZI.

“Itu langkah perniagaan mereka, bukan ada sangkut dengan kita. Sudah banyak kali saya cakap, semakin diulang semakin tak faham. Saya pun hairan macam nak cari salah kita pula sedangkan projek swasta.

“Difahamkan, fasa satu sedang berjalan namun perlahan tetapi bukan dengan BZI, Widad jalankan sendiri,” katanya.

Sanusi menegaskan, terdapat banyak perniagaan gagal dilaksanakan setelah diumumkan termasuk oleh kerajaan Persekutuan namun tidak pula dicanang sehingga dijadikan isu.

“Ada bisnes banyak yang tak menjadi, antaranya diumumkan oleh Perdana Menteri syarikat tertentu akan datang melabur kemudian tak jadi pun. Pasal apa tak marah Perdana Menteri?

“Yang saya tak umum tetapi diumumkan oleh syarikat itu sendiri, kebetulan berada di Kedah, tiba-tiba marah saya sebab tak jadi,” katanya sinis.

Pada Sabtu, Ahli Parlimen Sungai Petani merangkap Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kedah, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, keputusan Bin Zayed International LLC menarik diri daripada projek Langkasuka membuktikan kegagalan serius pentadbiran Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Menurutnya, projek yang dijanjikan sebagai pemangkin kemajuan Langkawi tersebut kini berpotensi terbengkalai akibat kelemahan kepimpinan kerajaan negeri. - Sinar Harian