Polis masih menjejaki seorang lelaki yang dipercayai dapat membantu dalam siasatan pembunuhan seorang wanita warga Myanmar di sebuah Kondominium Park View Harbour Palace di Butterworth malam Isnin.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata suspek berusia 29 tahun dikenali sebagai Mohamad Noor Lal Minah dipercayai masih berada di dalam negara.

Noorzainy berkata, Mohamad Noor yang juga suami kepada mangsa Yoon Hati Htike dipercayai menghilangkan diri selepas membunuh mangsa.

Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup CCTV di premis tersebut, kali terakhir Mohd Noor dilihat pada jam 3 pagi pada 14 Disember lepas.

BACA: Pisau masih tercucuk di leher, wanita maut dipercayai ditikam suami

Orang ramai yang mengenali lelaki itu atau mempunyai maklumat mengenainya boleh menghubungi balai polis terdekat bagi membantu siasatan.

“(Dipercayai) suspek masih di Malaysia, sebab (polis) sudah maklumkan kepada semua check point, dia berstatus UNHCR, si mati baru kerja di klinik empat bulan sebagai penterjemah,” katanya.

Noorzainy berkata pasangan yang memegang Kad Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) itu telah berkahwin sejak 2017 dan tinggal di kondominium itu sejak empat bulan lalu.


Mangsa yang mempunyai kelulusan kejuruteraan baru bekerja sebagai penterjemah di klinik sejak empat bulan lepas.

Dalam kejadian jam 10.30 malam Isnin, mayat wanita Myanmar yang ditemui dengan pisau masih tercucuk di leher dipercayai ditikam suaminya kerana cemburu.

Berdasarkan laporan dibuat majikan mangsa, pekerjanya itu pernah memberitahu bahawa dia mengalami masalah rumah tangga dan suaminya pernah ugut bunuh.