IPOH: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini diberitahu bahawa pendakwaan terhadap pegawai kanan polis DSP Mohd Nazri Abdul Razak yang dituduh membunuh pelajar 17 tahun pada 18 Dis 2023, dilakukan tanpa penyediaan laporan kimia, bedah siasat dan laporan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS).

Saksi ke-32 yang merupakan pegawai penyiasat kes ASP Chua Sze Yuan, 38, daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, menjawab persoalan tersebut ketika pemeriksaan balas oleh peguam Datuk Mior Faridalathrash Wahid yang mewakili tertuduh Mohd Nazri, 46.

Pemeriksaan balas itu merujuk kepada penyataan Chua pada Selasa lepas, yang maklumkan pada tarikh 17 Dis 2023 itu, arahan pertuduhan diterima untuk Mohd Nazri dituduh secara 'tentatif' di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Chua bagaimanapun menafikan pendakwaan kes itu disegerakan kerana kejadian itu tular di media sosial sehingga mendapat perhatian awam.

Mior sebelum itu bertanyakan sama ada arahan pertuduhan diterima dalam tempoh yang singkat iaitu pada 17 Dis 2023 selepas kejadian pada 15 Dis 2023 disebabkan mendapat kes itu tular di media sosial.

Namun pegawai penyiasat itu juga bersetuju dengan cadangan Mior bahawa semasa kes itu dituduh di mahkamah pada 18 Dis 2023, suasana di mahkamah Ipoh sangat tegang dengan kehadiran penyokong, keluarga si mati dan orang ramai, sehingga polis terpaksa mengadakan kawalan ketat.

Sewaktu ditanya oleh Peguam M Athimulan tentang maksud 'tentatif' yang digunakan dalam penyataan sebelum ini, Chua menjelaskan perkataan itu bermaksud penama dituduh terlebih dahulu sementara menunggu laporan lain siap.

Mohd Nazri pegawai polis berpangkat DSP didakwa membunuh Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, di Jalan Taman Jati 1 berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Jati di sini, antara 11.45 pagi hingga 12.32 tengah hari, 15 Dis 2023.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Afzainizam Abdul Aziz bersama Nasrul Hadi Abdul Ghani dan Low Qin, manakala Mohd Nazri diwakili peguam Athimulan, Mior Faridalathrash dan Aiman Hakim Kamaruzzaman serta peguam pemerhati Datuk Wan Azmir Wan Majid.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet bersambung esok.

-- BERNAMA