ISLAMABAD: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Islamabad bagi Lawatan Negara selama tiga hari di Pakistan sebentar tadi.

Pesawat khas yang membawa Anwar mendarat di Pangkalan Udara Nur Khan, Rawalpindi di sini, jam 7.55 malam waktu tempatan.

Beliau disambut sendiri oleh Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif, dengan kedua-dua pemimpin itu dilihat bersalaman erat dan berpelukan sebelum berjalan beriringan ke arah kenderaan.

Selain itu, antara yang menyambut ketibaan Perdana Menteri adalah Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Pakistan, Datuk Mohammad Azhar Mazlan.

Turut mengiringi Anwar ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah; dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Hasan.

Kerajaan Pakistan sebelum ini telah menaik taraf lawatan kerja Anwar ke negara ini kepada Lawatan Negara menandakan hubungan akrab antara kedua-dua negara.

Jadual padat menanti Perdana Menteri bermula jam 9 pagi esok, dengan sesi temu bual eksklusif bersama Pakistan Television Corporation (PTV).

Sebaik selesai, Perdana Menteri akan menerima sambutan rasmi di Kediaman Rasmi Perdana Menteri Pakistan, diikuti pertemuan dua hala antara kedua-dua pemimpin itu.

Mereka dijangka bebincang mengenai kerjasama sedia ada dan inisiatif bagi memperkukuh hubungan Islamabad-Putrajaya, selain bertukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama.

Kedua-dua Perdana Menteri kemudian akan menyaksikan majlis menandatangani dan pertukaran dua dokumen antara Malaysia dan Pakistan.

Dokumen berkenaan ialah memorandum persefahaman (MoU) antara Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dan Pihak Berkuasa Pembangunan Perdagangan Pakistan, serta surat kerjasama antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan Pihak Berkuasa Telekomunikasi Pakistan (TPA).

Majlis itu diikuti dengan pelancaran tiga karya terjemahan oleh penyair terkemuka Pakistan Allama Muhammad Iqbal, yang diterjemahkan daripada bahasa Parsi, Urdu dan Inggeris ke bahasa Melayu.

Beliau kemudian dijadualkan menyampaikan syarahan di Universiti Sains dan Teknologi Kebangsaan (NUST) dan menerima anugerah ijazah kehormat doktor falsafah daripada universiti berkenaan.
Anwar juga dijadual melancarkan buku bertajuk SCRIPT: Malaysia MADANI yang diterjemah daripada bahasa Melayu dan Inggeris kepada bahasa Urdu.

Dalam usaha meneroka lebih banyak peluang perdagangan bagi usahawan Malaysia, Perdana Menteri turut akan mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan pemain-pemain industri Pakistan pada sebelah petang.

Pada sebelah malam, Anwar dijadualkan melakukan kunjungan hormat ke atas Presiden Pakistan Asif Ali Zardari di Istana Presiden diikuti dengan Jamuan Negara yang dianjurkan oleh presiden itu.

Pada acara berkenaan, Anwar turut dijadualkan menerima anugerah penghormatan tertinggi Pakistan kepada pemimpin luar iaitu Nishan-e-Pakistan, atas ketokohan beliau memupuk hubungan dua hala antara Malaysia dan Pakistan ke tahap lebih lebih tinggi.